Social Icons

Pages

Thursday, July 2, 2009

kesedihan yang tak

Aku TanpaMU

Aku tanpamu
Umpama malam tanpa sang rembulan
Aku tanpamu
Ibarat siang tanpa sang suria
Apa guna alam andai malam tiada seri,
Siang tiada cahaya?
Begitulah aku… Tanpa dirimu

Sayang,
Mengertilah..
Dikau ada dalam diriku
Di mana-mana jua,
Kau sentiasa di hati
Wujudkah aku di sanubarimu?

Yang Sentiasa Berharap;
Aminurrasyid.

Ya Allah! Tak pernah terfikir di akalku betapa beraninya dia. Dia jatuh cinta padaku? Sungguh hebat dan dahsyat sekali digambarkan kepentingan dan keistimewaan aku dalam hidupnya. Malam tanpa bulan, siang tanpa suria. Gila! Dia memang ‘pemuisi gila’. Benci! Bencinya! Sajak itu dan sampul suratnya sekali aku keronyokkan.. Dibakulsampahkan! Aisyah kurang pasti entah untuk kali ke berapa sajak-sajak ‘pemuisi gila’ itu menghuni bakul sampah di biliknya. Nama saja pensyarah Fakulti Bahasa. Tapi tetap tak reti bahasa. Aku diam tu tandanya aku tak suka! Kirim salam lah kau wahai ‘pemuisi gila’!

“Akak rasa dia ni betul suka kat awak. Awak berilah peluang pada dia,” kata Kak Anim tulus.

“Apa? Akak ni biar betul. Akak tak kenal dia! Ya Allah, ‘pemuisi gila’ yang ntah apa-apa tu akak nak saya terima. Tolonglah kak!”

“Kalau dah awak ni bulan bintang dia, suria hidupnya, ha betulla awak ni penting sangat baginya,” Kak Anim tergelak. Aku tarik muka masam.

“Dik, kita tak pernah tahu perancangan Allah. Yang baik pada pandangan kita tak semestinya baik dalam pengetahuan Allah, begitulah sebaliknya. Segalanya telah tertulis di Luh Mahfuz sebelum Allah menciptakan kita. Soal ini tidak terjangkau oleh akal manusia, tetapi ia amat mudah bagi Allah. Aisyah faham kan hakikat ini?”

Aisyah Sufiya angguk. “Kak, kalau benar hakikat dalam ilmu pengetahuan Allah bahawa nanti saya berkongsi hidup dengannya, jika benar itulah ketentuanNya di Luh Mahfuz, saya tidak perlu gusar kan? Saya hanya mesti sentiasa memohon padaNya agar dipermudahkan segala urusan. Saya memohon petunjukNya”.

Aisyah Sufiya nekad. Biarlah kali ini dia memecah tradisinya.. Membalas e-mel dari ‘pemuisi gila’.

Assalamualaikum
Maafkan saya saudara, saya mahu saudara jelas.. Saya tidak suka cara saudara. Kita umat bersyariat. Biarlah segala yang kita lakukan mengikut syariat Allah dan Sunnah Rasulullah SAW.

Apa guna puisi andai ia mengagungkan makhluk.. tetapi melupakan Al Khalik.. yang menciptakan segala kejadian?
Apa makna “cinta” saudara kepada saya andai saudara tidak mencintai yang Menciptakan saya.. dan juga saudara?
Apalah erti rindu pada makhluk andai tiada pernah kita mengingati Pencipta Yang Maha Agung.
Halalkah kasih sayang andai ia diberikan pada yang tidak berhak?

Saudara bertanya: “Wujudkah aku di sanubarimu?”
Saya bertanya kembali: “Siapa yang layak menghuni sanubarimu?”

Klik! Send.

Aisyah Sufiya menarik nafas dalam-dalam. Matanya dikejapkan. “Ya Allah berikan kami petunjukMu”.

Hari-hari berlalu. Hari-hari yang berlalu itu melakar bermacam cerita. Bagi Aisyah Sufiya hari-hari yang dilaluinya sekarang lebih mendamaikan emosinya, rohaninya. Tiada lagi sajak-sajak dari ‘pemuisi gila’ itu.

Aisyah Sufiya masih ingat, Kak Anim pernah menegurnya. “Walau sebenci mana pun awak padanya, janganlah gelarkan dia ‘pemuisi gila’.. Kasihan dia. Tak elok”.

“Habis tu kak, apa lagi gelaran yang sesuai untuk manusia yang mengagungkan makhluk lebih dari Al-Khalik? Pemuisi yang berpuisi, berputar-putar di fikirannya mengagungkan keindahan ciptaan, bukan Pencipta, menari-narikan pena, menyelewengkan kekuatan rasa yang dianugerahi olehNya, pemuisi jenis apakah itu?”. Kak Anim geleng kepala lagi.

Aisyah Sufiya arif benar tentang hakikat itu. Pemuisi gila! Gelaran itu jualah yang layak untuk dirinya dulu. Berkata cinta, kasih, sayang, rindu dendam pada yang bukan hak. Berpuisi indah. Bermadah berseni. Cinta Aizad adalah segalanya. Sama seperti sang ‘pemuisi gila’. Tanpa Aizad dunianya tak berseri. Tiada Aizad, jiwanya terasa mati. Segala-galaya adalah Aizad sehinggalah Aizad ‘memusnahkan’ impiannya di saat hampir ke mahligai bahagia.

Siapa yang tidak malu. Abah dan Umi.. Maafkan Aisyah. Larangan Abah dan Umi supaya tidak berkawan dengan Aizad tidak dihiraukan. Akhirnya, dengan berat hati keduanya merelakan puteri kesayangan mereka memilih haluan hidup sendiri. Natijahnya… Aizad tidak hadir pada hari dia sepatutnya menyatakan ikrar dengan nama Allah untuk menerima Aisyah sebagai isteri. Benarlah, suara hati seorang ibu itu keramat. Tersembunyi hikmat. Restu ibu membawa berkat. Seorang ibu lebih tahu urusan anaknya, apa yang membahagiakan si anak dan sebaliknya.

Aisyah tidak akan lupa peristiwa itu. Aisyah tidak akan lupa Aizad sampai bila-bila. Bukan kerana dia tidak mengotakan janji, bukan kerana dia yang mempalit aib. Aisyah berterima kasih kepada Aizad kerana tindakannnya itu telah membuka mata hati Aisyah Sufiya. Aizad yang selalu diagung-agungkan lewat puisinya lalu telah mencemar kepercayaan Aisyah. Namun, Aizad yang tidak setia itu jualah menyedarkan Aisyah Sufiya.. Al-Khalik itu lebik berhak dicintai, Allah Al-Khalik itu lebih layak dirindui.. Argh jahilnya manusia yang mencintai makhluk melebihi kecintaan pada Al-Khalik! Alhamdulillah, kejadian yang dianggap musibah itu mengandungi hikmah yang tersembunyi.

Setelah ditinggalkan Aizad, Aisyah tetap hidup. Jiwa Aisyah mengatakan dia perlu terus berjuang. Suara hatinya mengatakan, dia harus bangkit dari kekecewaan. Aisyah sedar, bukan kerana Aizad jiwanya terisi, bukannya Aizad teman yang melindungi di saat dia memerlukan peneman di sisi. Yang mencintainya di saat dia dibenci adalah Allah. Yang mendengar keluh kesahnya di malam hari saat dia dihimpit duka adalah Allah. Yang sentiasa di sisinya dalam setiap denyutan nadinya adalah Allah. Yang menciptakan dia dan seluruh alam adalah Allah. Siapakah lagi yang lebih berhak diagung-agungkan selain Dia?

“Ha Syah… Macam mana kisah awak dengan ‘peminat fanatik’ awak tu?”. Pertanyaan Kak Anim menarik minat Aisyah. Aisyah menutup buku ‘I Saw Ramallah’. Aisyah pandang Kak Anim.

“Alhamdulillah, I consider it as settled!”. Yakin sekali Aisyah Sufiya berbicara. “Saya dah cakap kat dia yang saya tak minat dia dan puisi-puisinya yang gila itu!”

“Aisyah Sufiya, listen to me dear.” Kak Anim menukar posisi. Menghadap wajahnya ke arah Aisyah. “Ketika Abu Darda’ dalam suatu perjalanan, dia melalui sekumpulan lelaki yang sedang mengelilingi seorang lelaki yang cedera. Rupa-rupanya lelaki itu cedera kerana dipukul oleh orang-orang di sekelilingnya. Malah dia turut dikutuk dan dikeji. Abu Darda’ bertanya kenapa lelaki malang itu dilayan sebegitu rupa. Rupa-rupanya dia dipukul kerana telah melakukan dosa. Abu Darda’ bertanya jika lelaki itu terjatuh ke dalam perigi, tidakkah mereka akan menolongnya keluar? They answered positively. Lalu Abu Darda’ menasihatkan mereka supaya tidak memukulnya atau mencacinya. Lelaki itu perlu dijelaskan tentang dosa yang telah dilakukannya dan bersyukurlah Allah telah menyelamatkan kita daripada melakukan maksiat yang sama. Abu Darda’ ditanya kembali adakah dia membenci lelaki itu? Jawab Abu Darda’, dia hanya benci pada maksiat yang dilakukannya. “Andai lelaki itu bertaubat.. Maka dia adalah saudaraku”, kata Abu Darda’. Do you know what happened to that guy?

Bagai anak sekolah yang ralit mendengar cerita dari gurunya, Aisyah Sufiya menggeleng. Tanda tidak tahu.

Kak Anim menyambung bicara; “Setelah mendengar bicara Abu Darda’ lelaki itu menangis lalu mengatakan dia telah bertaubat dan tidak akan mengulangi maksiat yang telah dilakukannya”.

Uhuk! Aisyah rasa nak terbatuk. Rasa macam dihempuk sesuatu. Rasa diberi kesedaran. Aisyah teringat hadith riwayat Tirmidzi. Kalau bencikan kemungkaran jangan sekadar membenci di dalam hati sahaja, itu adalah tahap keimanan yang paling rendah. Lakukan suatu yang positif! Setiap Muslim dan Muslimah adalah da’ie. Aisyah sedar tanggungjawabnya itu. Aisyah teringat ‘pemuisi gila’.

E-mel dakwahnya yang pertama. Dengan alamat e-mel yang baru pastinya. Bak kata Kak Anim.. Usaha dakwah tersembunyi! Langkah pertama.. mmm… Mengenali mad’u.

Assalamualaikum. Saya senang sekali membaca puisi-puisi indah saudara. Kalimah-kalimah yang cantik bila tersusun rapi bak mutiara berharga hasilnya.

Saya adalah antara yang mengikuti perkembangan kreativiti saudara. Membaca puisi-puisi karya kreatif saudara di amiryy.wordpress.com. Sering juga mengikuti seminar-seminar usaha saudara dan rakan-rakan. Tahniah! Teruskan usaha murni itu.

Saudara,
Tiada cinta yang lebih agung melainkan cinta Ilahi. Dialah yang layak dicintai kerana Dia tidak pernah membenci. CintaNya bukan mengharapkan balasan. Kasih sayang dan rahmat Allah itu tidak terbanding. Selayaknya, segala rasa cinta, kasih sayang dan rindu kita adalah untuk Dia yang Maha Pengasih dan Penyayang. Seadilnya kita yang dicipta mendahulukan Pencipta, bukannya ciptaan.

Salam Perkenalan;
HambaMu yang kerdil
SUFI

Seminggu kemudian. E-mel pertama dari Aminurrasyid.. Bukan lagi ‘pemuisi gila’!


Waalaikumussalam. Menulis sepatutnya memberikan pelepasan emosional yang membangkitkan rasa puas dan lega… Menulis dan terus menulis, berkarya dan terus berkarya.. Tiada pernah emosi ini terasa puas dan lega. Terima kasih memberi ilham untuk melihat jauh ke dalam diri, memberi peluang untuk koreksi peribadi.

Sebulan. Dua bulan. Tiada sebarang reaksi dari Aminurrasyid Yusof. Tiada juga puisi-puisi dari ‘pemuisi gila’. Aisyah Sufiya pelik dengan dirinya. Dia terasa ternanti-nanti reaksi dari Aminurrasyid dan juga ‘pemuisi gila’. Rindukah aku?. Rindu pada ‘pemuisi gila’ atau Aminurrasyid? Tidak! Aduhai… Kedua-duanya insan yang sama!

“Deklamasi Puisi Islam: Malam Mencari Cinta”. Di Laman Darul Sakinah… Aisyah meneliti handbill yang diberikan Jarir, pelajarnya, selepas kelas Basic Legal Method tadi. Emm… Menarik! Kak Anim mungkin berminat. Aisyah Sufiya terus mencapai telefon bimbitnya.

Aisyah dan Kak Anim sampai agak lambat. Memang mereka telah merancang untuk tidak mendengar ucapan perasmian. Aisyah nampak kelibat beberapa pelajarnya. Ada yang nampak laju ke sana-sini dan ada yang hanya hadir sebagai pengunjung. Alhamdulillah, ada juga yang berminat dengan puisi-puisi ketuhanan. Aisyah memanjat syukur dalam diam.

Agak menarik. Kebanyakan pendeklamasi adalah muka-muka baru yang masih menuntut. Memang pun deklamasi ini anjuran Kelab Karyawan Muda. Satu fakta yang menarik, ramai daripada mereka adalah penuntut IPTA dalam jurusan Sains, bukannya penuntut aliran sastera. Teringat kata Imam Al-Ghazali, sebahagian manusia itu diberi kekuatan rasa lebih dari yang lain. Kerana kekuatan rasa inilah, dengan izin Allah terlahir idea dan kreativiti. Dan orang yang punya kekuatan rasa itu boleh jadi siapa sahaja. Aisyah teringat sahabat-sahabatnya. Akhyar, pelajar kejuruteraan di UIAM, Zul Iskandar yang sekarang berkhidmat sebagai doktor di Sabah, Rosmini, graduan Southern Illinois University dan ramai lagi. Cikgu Halim, guru Matematiknya dulu pun tidak kurang juga berpuisi. Selalu puisinya tersiar di dada akhbar dan majalah. Persamaan antara dia dan mereka adalah menjadikan penulisan sebagai medium meluah rasa dan pandangan.

Panorama Indah

Sebahagian Manusia itu diberi Kekuatan Rasa lebih dari yang Lain

“Sidang hadhirin hadhirat, pendeklamasi seterusnya adalah Saudara Aminurrasyid Yusof. Beliau adalah Setiausaha Agung Kelab Karyawan Muda. Setelah sekian lama menyepikan diri, kami persilakan… Aminurrasyid Yusof atau Amiryy.”

Aisyah Sufiya rasa kaku. Kak Anim pandang Aisyah Sufiya. Tapi perhatian Aisyah tetap terarah ke pentas. Dengan tiba-tiba Aisyah terasa seluruh badannya sejuk. Kak Anim genggam jemari Aisyah.

“Maaf saudara pengerusi majlis. Saya tidak pernah menghilangkan diri. Saya tetap maujud di sini”. Terdengar sedikit gelak tawa dari para pengunjung.

“Dalam 5 bulan ini, saya sebenarnya mencari diri saya. Melihat jauh ke dalam diri, menilai diri, cuba koreksi kelemahan. Ini saya namakan hidayah. Hidayah yang Allah kurniakan melalui seorang ‘sahabat’ yang tidak pernah dikenali di alam realiti. Siapapun sahabat itu, anda perlu tahu, saudaramu ini terhutang budi padamu. Andai dia bisa mendengar ini.. Moga Allah merahmatimu. Hidayah adalah milik Allah. Alhamdulillah, saya terpilih untuk menerima hidayahNya itu dengan bantuan anda. Moga Allah perkenankan doa saya untuk mengenali ‘sahabat’ itu. Terimalah “Aku TanpaMu”…

Aku TanpaMu
Umpama malam tanpa rembulan
Aku TanpaMu
Umpama siang tanpa sang suria
Apa guna alam jika malam tiada seri,
Siang tiada cahaya?
Begitulah aku tanpaMu

Dulu kumelihat saujana luas alam
Memberiku sejuta ruang ilham
Mencipta pentas kejayaan
Kujajah rakus setiap pujian milikMu

Akulah hamba
Yang seiras, sewajah
Persis manusia hilang akal
MelupakanMu dalam setiap bait-bait puisiku
MenduakanMu dalam setiap untaian pujianku

Sungguh kesempurnaanMu
Lebih berhak untuk kumuliakan!

Puisi-puisiku..
Tidak sepuitis jiwaku
Tidak sesyahdu sukmaku
Tidak sesuci nuraniku
Tidak semurni hatiku

Haruman kasihMu
Pencetus evolusi hidayahku.

Suasana khali. Pendeklamasian “Aku TanpaMu” tiba-tiba terhenti. Pendeklamasi di atas pentas menahan tangis. Tapi tentu saja tangisnya yang perlahan itu bisa disambar pembesar suara, lantas menerbit sayu di hati pengunjung, termasuk Aisyah Sufiya. Tidak lama kemudian, Pendeklamasi “Aku TanpaMu” meneruskan bait-bait sajaknya… Lebih bersemangat.

Semoga puisi-puisiku nanti
Menjadi tasbih jiwaku
Menjadi penawar sukmaku
Menjadi pengubat nuraniku
Menjadi zikir hatiku
Dan menjadi pedoman hidup dunia Akhiratku.

Siapalah aku dan puisi-puisiku itu
Tanpa ilhamMu!

Wahai Tuhanku
Siapalah aku dan seluruh alam ini
TanpaMu!

“Terima kasih. Assalamualaikum”.

Aisyah Sufiya rasa pipinya panas. Ada air mata yang mengalir. Aduhai hati, bersyukurlah. Aduhai mata, berhentilah menangis. Bukankah usahamu telah berjaya. Kau harus bersyukur.

“Jom dik. Kita balik ya?”
Aisyah menurut sahaja.

8.20 pagi, Jumaat pertama di bulan Jun. Penghulu segala hari. Aisyah Sufiya rasa bersemangat. Kunci dikeluarkan, perlahan pintu bilik pejabatnya dibuka. Ada sekeping nota di bawah pintu.

Assalamualaikum. Semalam saya bertandang ke sini. Saudari bercuti. Alhamdulillah pencarian saya hampir berjaya, dengan bantuan Kak Samhanim saya mengetahui bahawa SUFI dan Aisyah Sufiya adalah insan yang sama. Aminurrasyid Yusof pula bukan lagi si ‘Pemuisi Gila’. Dunia yang disangka besar ini adalah pentas yang kecil rupanya. Segalanya mungkin dalam ilmu Allah Taala yang Maha Sempurna. Terima kasih.

Jumpa lagi nanti, insyaAllah, walaupun hanya sekadar sahabat.

Yang Mengharap Redha Allah;
Aminurrasyid Yusof.

Kak Anim! Geramnya! Aisyah Sufiya senyum sendiri. Terima kasih Ya Allah. Hari itu jadi Jumaat paling indah dalam hidupnya!

hurriyyati@yahoo.com

No comments:

Post a Comment